mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang wanita dikhuatiri hilang selepas tersesat dalam hutan di Kampung Betanak, Pulau Bruit, Daro, malam ini.
Mangsa dikenali Suriya Merais, 53, dilapor memasuki kawasan hutan itu pagi tadi bersama 10 lagi rakannya untuk mencari buah-buahan hutan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.15 malam.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati seorang wanita hilang selepas dipercayai masuk ke hutan bersama 10 lagi rakan.
“Bagaimanapun, mangsa tidak keluar bersama kumpulan berkenaan dan disyaki tersesat daripada laluan asal yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan namun berdepan kesukaran berikutan tiada liputan talian komunikasi di kawasan terbabit.
Katanya, jentera bomba juga tidak dapat memasuki lokasi dan anggota terpaksa berjalan ke kawasan hutan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




