am@hmetro.com.my
Melaka: Wanita cedera selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat empat sebuah pangsapuri di Cheng dekat sini, selepas pertengkaran dengan suaminya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, mangsa berusia 35 tahun ditemui dalam keadaan terlentang di bawah pangsapuri itu oleh jirannya yang segera menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, jiran mangsa menyatakan terdengar bunyi dentuman sebelum melihat mangsa terbaring di tingkat bawah pangsapuri.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian wanita itu berada di rumah bersama suaminya berusia 33 tahun.
“Berdasarkan rakaman percakapan, suaminya yang bekerja sebagai kelindan lori mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya sebelum suri rumah terbabit jatuh.
“Pasangan ini berkahwin pada 2023 namun belum dikurniakan anak dan setakat ini polis sedang saksi bebas yang melihat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kini masih dirawat di ke Hospital Melaka dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
© New Straits Times Press (M) Bhd




