am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila rantai lehernya cuba diragut penjenayah ketika duduk sambil bercakap menggunakan telefon di hadapan sebuah kedai runcit di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa pada jam 9 malam.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan rantai lehernya diragut dari belakang oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dan jaket berwarna hitam.
“Suspek menarik tali berwarna kuning mempunyai tiga loket berwarna keemasan dipakai mangsa sehingga terputus dan terjatuh di lantai.
“Penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hitam yang ditunggang seorang lagi suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ibrahim berkata, motosikal itu tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya selain arah suspek melarikan diri juga tidak pasti.
“Mangsa tidak mengalami kerugian atau kecederaan akibat kejadian ini. Polis kini sedang giat memburu suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




