Kuala Lumpur: Kesukaran mendapatkan penderma darah jenis O+ bagi ibunya yang memerlukan transfusi selepas menjalani pembedahan pada bahagian perut, termasuk ada yang meminta bayaran sebelum bersetuju menderma, menjadi titik perubahan bagi Chin Jeck Leng untuk menjadi penderma darah tegar.
Wanita berusia 65 tahun itu akan berkunjung ke Pusat Darah Negara (PDN) di Jalan Tun Razak di sini setiap dua minggu sekali kerana tidak mahu pengalaman sama ibunya berulang, semuanya demi menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Selepas hampir lima dekad berbakti, bekas ketua jabatan pengurusan sumber manusia di sebuah bank itu telah menderma darah sebanyak 580 kali, satu pencapaian luar biasa yang bukan sahaja mendapat penghargaan bahkan menjadikannya wanita pertama di negara ini menerima Anugerah ‘Medal for Life’.
“Waktu pembedahan itu pada 1980, saya masih lagi kecil dan tidak sesuai untuk menderma. Memang sukar untuk cari penderma dalam kalangan keluarga dan saudara kerana tidak ramai yang mahu menderma.
“Ada yang sudi derma darah pun, hanya jiran saya tetapi dia minta bayaran. Sejak itulah, saya mula sedar betapa pentingnya pengorbanan seorang penderma kerana ia akan memberi harapan kepada mereka yang memerlukan. Lagipun, darah tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” kata pemilik darah O+ itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 dan Sambutan Jubli Perak PDN yang disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mula menderma darah sejak usia 18 tahun, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata tahap kesihatannya kekal baik dan tidak menghidap sebarang penyakit sehingga kini serta berharap lebih ramai lagi khususnya generasi muda tampil menjadi penderma darah.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Delima Norhasri Mohamad Jadi, 44, aktif menderma darah sejak usia 28 tahun selepas melalui detik hitam terlibat kemalangan jalan raya pada usia tiga tahun sehingga mengalami kehilangan darah yang banyak.
“Ketika kemalangan, kami sekeluarga dalam perjalanan balik dari kampung di Teluk Kemang, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur sebelum kenderaan ayah terbabas ketika mengelak lori. Saya kehilangan darah begitu banyak dan ini yang diceritakan keluarga.
“Jadi, saya bertekad untuk menjadi penderma darah kerana menyedari betapa besarnya jasa seorang penderma,” katanya menambah kemalangan itu menyebabkan tangan dan kaki kanannya tidak lagi normal sehingga mendapat kad orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Pemandu e-hailing berdarah O+ itu telah menderma darah sebanyak 99 kali dan menjadi satu-satunya penderma darah OKU yang menerima anugerah pada majlis berkenaan.
Anugerah Delima merujuk kepada bilangan pendermaan aferesis iaitu 76 hingga 100 kali atau bilangan pendermaan darah utuh (31 hingga 40 kali).
© New Straits Times Press (M) Bhd