am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menjual pakej pelancongan palsu kepada dua mangsa membabitkan kerugian bernilai hampir RM16,000.
Tertuduh, Low Siew Hwa, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan A Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Siew Hwa didakwa dengan curang memperdaya seorang wanita berusia 52 tahun untuk menyerahkan wang berjumlah RM14,396 bagi bayaran mendapatkan perkhidmatan pakej percutian yang tidak wujud.
Tertuduh tahu mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan jika tidak diperdaya sedemikian.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Setia Indah di sini, antara 22 November hingga 9 Disember tahun lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa dengan niat curang memperdayakan seorang wanita berusia 58 tahun untuk memindahkan wang sebanyak RM1,588 ke akaun milik perniagaan ‘Summer Happy Enterprise’ sebagai bayaran percutian ke China yang mana tertuduh tahu percutian itu tidak benar.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Taman Bukit Indah di sini, pada 6.02 petang, 12 Mac lalu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Di kedua-dua mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam mencadangkan jumlah jaminan RM10,000.
Atifah Hazimah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan menetapkan sebutan semula pada 17 Jun depan.
Shaarmini pula membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




