Wanita didakwa ganggu, pukul dua kanak-kanak di pusat beli-belah ditahan

Wanita didakwa ganggu, pukul dua kanak-kanak di pusat beli-belah ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita yang didakwa membuat kekecohan dan mengganggu orang awam di sebuah pusat beli-belah di sini, baru-baru ini sudah ditahan oleh pihak polis di Bandar Sri Damansara hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata suspek yang juga wanita tempatan berusia 25 tahun itu ditahan pada jam 5.40 petang tadi.

“Pihak polis sudah menahan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat beli-belah yang dilaporkan pada 1 November lalu.

“Hasil siasatan awal dan soal siasat pihak polis mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki mengganggu pengunjung pusat beli-belah di ibu negara.

Tindakan itu dilakukan selepas pihak polis menerima tiga laporan polis berhubung kejadian wanita terbabit menolak dan memukul pengunjung di pusat beli-belah berkenaan.

Polis turut menerima satu lagi laporan daripada mangsa yang mendakwa wanita itu menolak dan memukul dua anaknya dalam kejadian pada hari yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top