Wanita digesa jalani saringan HPV, jangan tunggu hingga terlambat

Wanita digesa jalani saringan HPV, jangan tunggu hingga terlambat

am@hmetro.com.my

Kuching: Golongan wanita khususnya yang berusia antara 30 hingga 65 tahun digesa tampil menjalani saringan kanser serviks menerusi ujian HPV DNA bagi mengesan penyakit itu lebih awal sebelum menjadi lebih serius.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanser serviks boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal, dan kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkukuh.

Menurutnya, pendekatan turun padang melalui Program Outreach WCaRE: Pemerkasaan Komuniti Etnik membolehkan perkhidmatan kesihatan dibawa lebih dekat kepada komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.

“Ramai masih takut dan malu untuk tampil menjalani saringan, sedangkan ujian ini penting untuk menyelamatkan nyawa.

“Kita mahu wanita tampil membuat ujian HPV DNA kerana pengesanan awal mampu memberi peluang rawatan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Program Outreach WCaRE: Pemerkasaan Komuniti Etnik di sini, hari ini.

Nancy berkata, sejak 2019 hingga 31 Mac lalu, seramai 202,889 wanita di seluruh negara sudah menjalani saringan HPV DNA melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di Sarawak sahaja, seramai 55,266 wanita sudah menjalani saringan dengan 4,710 kes dikesan positif HPV, 92 kes pra-kanser dan 10 kes kanser serviks.

“Ini membuktikan betapa pentingnya saringan awal dalam usaha mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih serius,” katanya.

Menurutnya, Kampung Santubong sebelum ini dipilih sebagai lokasi projek rintis eliminasi kanser serviks dan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dengan ramai wanita tampil menjalani saringan.

Selain itu, katanya, pendekatan komuniti turut diperkasa melalui pelantikan ‘Duta Etnik’ dalam kalangan wanita tempatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ujian berkenaan.

“Mereka akan berkongsi maklumat dengan rakan, jiran dan komuniti setempat kerana pendekatan ini lebih mudah diterima masyarakat,” katanya.

Nancy berkata, bagi tahun ini, kementerian menyasarkan seramai 5,500 wanita di Sarawak menjalani ujian HPV DNA selain 4,000 lagi menjalani mamogram.

Katanya, kemudahan Makmal Molekular LPPKN di Sarawak yang mula beroperasi sejak Februari lalu turut membantu mempercepatkan proses keputusan ujian.

“Ujian HPV DNA dan mamogram ini disediakan secara percuma, jadi ambillah peluang ini. Jangan takut, jangan malu.

“Lebih awal kita tahu, lebih besar peluang untuk kita selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top