Wanita dipenjara 12 minggu kerana bersuami dua

Wanita dipenjara 12 minggu kerana bersuami dua

Singapura: Seorang wanita berusia 36 tahun dihukum penjara 12 minggu kerana melakukan bigami (bersuami dua), yang menyalahi undang-undang di Singapura.

Warga Vietnam, Nguyen Thi Phuong Thuy juga berbohong kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan bahawa dia tidak mempunyai anak.

Pertuduhan itu telah dipertimbangkan untuk hukuman, menurut CNA yang melaporkan keputusan mahkamah Jumaat lalu.

Mahkamah diberitahu, pada 2008 ketika berumur 19 tahun, Nguyen berkahwin dengan seorang lelaki Singapura berusia 54 tahun iaitu 35 tahun lebih tua daripadanya dan perkahwinan itu didaftarkan di Singapura.

Sekitar tahun 2012, Nguyen kembali ke Vietnam untuk mendapatkan rawatan dan didakwa bertemu serta menjalin cinta dengan seorang lelaki senegara yang tiga tahun lebih tua daripadanya.

Dalam tempoh itu, dia didakwa lebih banyak tinggal di Vietnam dan turut hamil anak lelaki itu. Sedar tidak dapat mendaftar perkahwinan di Singapura kerana sudah mempunyai suami di sana, mereka kemudian mendaftarkan perkahwinan di Vietnam pada 28 Julai 2015.

Nguyen terus menetap di sana dan didakwa hanya pulang ke Singapura untuk memperbaharui permohonan pas lawatan jangka panjangnya.

Pada tahun 2016, dia kembali ke Singapura untuk memulakan perceraian dengan suami pertama dan perkahwinan itu dibubarkan pada 3 November 2017.

Dilaporkan juga perkahwinan kedua Nguyen turut terbubar di Vietnam pada 9 Mac 2018. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mengandungi butiran mengenai bagaimana perkahwinan bigami itu terbongkar.

Terdahulu, pendakwaan memohon hukuman penjara tiga bulan untuk Nguyen, namun wanita itu yang tidak diwakili peguam menangis sambil merayu hukumannya diringankan, mengambil kira dia kini ibu tunggal yang mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun yang memerlukannya di sisi.

Dia juga berkata keluarganya menghadapi kesukaran kerana bapanya separa lumpuh dan ibunya sudah uzur.

“Saya adalah tonggak kekuatan dalam keluarga, (untuk) menjaga keluarga saya dari segi kewangan dan emosi,” katanya.

Hakim kemudian memutuskan hukuman lebih ringan daripada dituntut pendakwaan. Tertakluk undang-undang republik itu, bigami boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top