Wanita dipenjara dua bulan, denda hampir RM80,000

Wanita dipenjara dua bulan, denda hampir RM80,000

Ipoh: Seorang bekas eksekutif sumber manusia syarikat swasta dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM79,900.75 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat tuntutan gaji palsu pada 2018 hingga 2019.

Siti Aishah Mohamad Amir, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap lima daripada 14 pertuduhan membabitkan tuntutan berjumlah RM70,177.10 di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mahkamah memerintahkan Siti Aishah dipenjara dua bulan bagi setiap lima pertuduhan dan dijalankan secara serentak serta turut mengarahkannya dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda.

Siti Aishah bagaimanapun dilepas dan dibebaskan atas sembilan lagi pertuduhan hasil rundingan akuan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Aishah didakwa sebagai seorang Eksekutif Sumber Manusia Hovid Berhad, bersama-sama dengan seorang lagi yang telah dituduh iaitu Mohamad Iqbal Fakhruddin Roslan dengan niat bersama memperdayakan prinsipalnya iaitu Hovid Berhad.

Ia dengan mengemukakan satu dokumen yang mengandungi butiran palsu yang berkenaan dengannya prinsipal itu mempunyai kepentingan, iaitu dengan memasukkan akaun nombor atas namanya bagi menuntut gaji pekerja yang telah berhenti.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Hovid Berhad di sini pada Jun 2018 hingga Disember 2019.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi, manakala Siti Aishah diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Scroll to Top