Wanita dipercayai lari dari kedutaan ditemukan lemas dalam tasik

Wanita dipercayai lari dari kedutaan ditemukan lemas dalam tasik

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Wanita warga asing ditemui lemas selepas terjun ke dalam tasik di Taman Tasik Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, semalam, dipercayai melarikan diri daripada pihak kedutaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn tiba di lokasi pada jam 4.39 petang.

“Kejadian membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang terjun ke dalam tasik dipercayai ketika melarikan diri daripada pihak kedutaan.

“Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sebelum pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Unit PPDA memulakan selaman pada jam 10.10 malam sebelum mangsa ditemui sembilan minit kemudian.

“Mangsa dijumpai pada jarak kira-kira enam meter dari tebing tasik dengan kedalaman tiga meter.

“Mangsa dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top