TANGERANG – Seorang wanita muda berusia 22 tahun ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dijumpai dengan tangan diikat ke belakang dalam kawasan semak di Cisauk, Tangerang, Banten pada 16 Julai lalu.
Mangsa, yang dikenali sebagai APSD, dipercayai dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki yang mengenalinya, selepas menuntut hutang melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Subdirektorat Penerangan Masyarakat Polda Metro Jaya, Asisten Komisioner Polis (AKP) Reonald Simanjuntak memaklumkan, ketiga-tiga suspek telah diberkas sehari selepas penemuan mayat.
Mereka dikenal pasti sebagai RRP,19, IF,21, dan AP,17.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7 Julai, apabila RRP mengajak mangsa ke rumah AP atas alasan mahu membayar hutang berjumlah 1.1 juta rupiah (kira-kira RM330).
Namun, ia dipercayai hanya helah kerana suspek marah dengan tindakan mangsa yang menuntut hutang secara berterusan melalui mesej WhatsApp.
Setibanya di rumah tersebut, mangsa diserang secara fizikal dengan leher dicekik, mulut ditutup dan dijatuhkan ke lantai.
AP kemudian mengikat tangan mangsa ke belakang, manakala IF memegang kakinya, sebelum ketiga-tiga suspek merogol mangsa secara bergilir-gilir dalam keadaan dia tidak berdaya.
“Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, RRP mencekik mangsa hingga tidak bernyawa. Mayat kemudian dibawa ke kawasan semak sejauh kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian sebelum ditinggalkan,” kata Reonald.
Beliau menambah, mangsa turut dipukul di bahagian leher, dada, pipi dan telinga. Suspek utama turut melarikan telefon bimbit serta motosikal milik mangsa.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Cisauk, AKP Dhady Arsya berkata, penduduk kampung mula mengesan bau busuk sejak beberapa hari sebelum membuat laporan kepada polis.
“Mayat masih dalam keadaan utuh, namun wajahnya sudah rosak teruk dan menyukarkan pengecaman,” katanya.
Ketiga-tiga suspek kini direman dan disiasat atas kesalahan merogol secara berkumpulan, membunuh dan merompak.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman mati mengikut undang-undang jenayah Indonesia. -Agensi