am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun hari ini, kerana disyaki mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di sebuah Taska di Bukit Setongkol, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, penahanan dibuat susulan rakaman video yang tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki dikasari seorang wanita.
“Kami turut menerima satu laporan berkaitan video tular itu, jam 10.34 pagi, hari ini. Hasil siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu.
“Rakaman video berkenaan memaparkan mangsa berusia dua tahun lapan bulan dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepala oleh seorang wanita yang juga kakitangan Taska terbabit,” katanya pada kenyataan.
Ashari berkata, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, untuk pemeriksaan, dan setakat ini, tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.
Namun, pemeriksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes itu membabitkan kanak-kanak.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652222 atau balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd
