
Pasukan penyelamat kecemasan membawa seorang wanita warga emas yang ditemui masih hidup selepas dijadualkan untuk upacara pembakaran mayat di Kuil Wat Rat Prakhong Tham, wilayah Nonthaburi, Thailand. Foto: Kuil Wat Rat Prakhong Tham
NONTHABURI – Kakitangan di sebuah kuil di Thailand gempar apabila seorang wanita yang dibawa untuk upacara pembakaran mayat didapati masih hidup selepas kedengaran bunyi ketukan dari dalam keranda.
Kejadian itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha di wilayah Nonthaburi, berhampiran Bangkok.
Pengurus hal ehwal umum dan kewangan kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita berusia 65 tahun berkenaan dibawa dari wilayah Phitsanulok oleh abangnya untuk proses pembakaran mayat.
Menurutnya, sebelum keranda dibuka, kakitangan kuil terdengar ketukan perlahan dari dalam.
“Saya terkejut dan terus minta mereka buka keranda. Semua orang terkesima. Dia buka mata sedikit dan mengetuk bahagian keranda.
“Nampaknya, wanita terbabit sudah lama mengetuk,” katanya kepada The Associated Press.
Pairat berkata, abang wanita itu memaklumkan adiknya terlantar sakit selama dua tahun dan baru-baru ini menjadi tidak responsif hingga disangkakan sudah meninggal dunia dua hari lalu.
Abangnya kemudian meletakkan wanita itu di dalam keranda sebelum memandu sejauh 500 kilometer ke sebuah hospital di Bangkok kerana adiknya pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ namun ditolak hospital kerana tiada sijil kematian.
Lelaki itu kemudian ke kuil tersebut yang menawarkan perkhidmatan membakar mayat percuma, namun turut dimaklumkan bahawa proses itu tidak boleh dijalankan tanpa dokumen berkenaan.
Ketika Pairat sedang menerangkan cara mendapatkan sijil kematian, mereka terdengar ketukan dari keranda sebelum mendapati wanita itu masih bernafas.
Wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Pairat turut memaklumkan bahawa ketua sami kuil tersebut bersetuju menanggung semua kos perubatan wanita berkenaan.
Ringkasan AI
- Kakitangan kuil di Thailand terkejut apabila seorang wanita yang dibawa untuk upacara pembakaran mayat didapati masih hidup
- Kejadian berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, Nonthaburi, berhampiran Bangkok
- Wanita tersebut berusia 65 tahun, dibawa oleh abangnya dari Phitsanulok untuk proses pembakaran mayat
- Kakitangan kuil mendengar ketukan perlahan dari dalam keranda sebelum membukanya dan mendapati wanita itu masih bernafas
- Wanita itu kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan dan kuil bersetuju menanggung semua kos perubatannya



