Wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman dalam bilik tidur

Wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman dalam bilik tidur

am@hmetro.com.my

Butterworth: Perasaan bimbang seorang lelaki apabila mendapati isterinya tiada ketika sarapan, terjawab apabila wanita itu ditemukan maut dengan kesan tikaman pada dada di kediaman mereka di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini, hari ini.

Mangsa berusia 52 tahun yang bekerja sebagai operator kilang, dijumpai terbaring berlumuran darah dalam sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah teres itu kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan terdahulu, suami mangsa dikata merasakan ada yang tidak kena apabila isteri tidak turun menyediakan sarapan seperti biasa.

Justeru, beliau cuba memeriksa dengan membuka pintu bilik tidur yang dikatakan berkunci dari dalam, sebelum menjumpai mangsa tidak sedarkan diri.

Susulan itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sebarang Perai Utara, bersama pasukan forensik polis menjalankan siasatan di lokasi insiden.

Pihak polis dilaporkan turut merampas sebilah pisau di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa adalah seorang pesakit psikiatri yang masih dalam rawatan.

Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang elemen jenayah dikesan di tempat kejadian, setakat ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat yang dijadual dijalankan di Hospital Seberang Jaya, esok.

New Straits Times berusaha mendapatkan polis Pulau Pinang berhubung kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top