Wanita & Dunia Bisnes: Peluang vs Janji Manis!

Wanita & Dunia Bisnes: Peluang vs Janji Manis!

Kalau dulu wanita dalam dunia bisnes ni macam pelengkap cerita je, sekarang lain. Wanita bukan sekadar ada, mereka dah jadi peneraju di depan. Curlass~

Di seluruh ASEAN, lebih 60 juta wanita menguruskan bisnes sendiri. Tak kira sama ada jual produk handmade dari rumah atau pimpin syarikat teknologi global, wanita sekarang memang ligat menggerakkan ekonomi.

“Kita panggil ini sheconomy, sebab ia bukan trend sementara tapi satu daya penggerak sebenar untuk pertumbuhan inklusif di ASEAN,” kata Puan Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), MITI.

Tapi Kita Belum Menang Lagi

Menurut Puan Mastura, walaupun nampak gah, realitinya kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja di ASEAN masih rendah, hanya sekitar 57 peratus.

Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), MITI

Beliau menjelaskan bahawa walaupun sumbangan wanita dalam ekonomi sangat besar, usaha untuk capai kesaksamaan sebenar masih jauh.

“Kita tak boleh lagi cakap ‘nak sokong wanita’ tapi setakat manis atas kertas. Kita perlu langkah konkrit iaitu dasar, pembiayaan, ekosistem yang benar-benar peka gender,” tegas Puan Mastura.

Katanya, cabaran sebenar ialah memastikan akses yang sama rata kepada peluang ekonomi untuk semua wanita.

Wanita Nak Akses, Bukan Janji Manis

Apa yang wanita perlukan sekarang bukan lagi janji manis tapi akses sebenar kepada pembiayaan untuk memulakan perniagaan sendiri, dasar yang mesra gender dan program sokongan yang relevan dengan cabaran semasa.

Malaysia sendiri telah mengumumkan penubuhan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita di Kuala Lumpur dan berhasrat untuk menjadikan inisiatif ini contoh yang boleh dikembangkan ke seluruh ASEAN.

Jelas Puan Mastura berkenaan peranan Malaysia dalam usaha ini adalah untuk menjayakan pusat seumpama itu di peringkat ASEAN memerlukan koordinasi rapat antara kerajaan dan sektor swasta.

“Forum seperti ASEAN-Women Economic Forum sangat penting untuk jadi ruang perkongsian pengalaman dan penanda aras serantau yang boleh menggerakkan usaha pemerkasaan ekonomi wanita secara lebih terarah,” jelas beliau.

Kerajaan Hapuskan Halangan Struktural

Ekosistem keusahawanan yang mesra wanita tidak akan wujud dengan sendiri. Ia perlu siap tersedia, melalui dasar dan pelaksanaan yang benar-benar serius.

Kami sempat bertanya bagaimana kerajaan boleh memastikan ekosistem ini inklusif, dan Puan Mastura menjawab, “Kerajaan mesti jadi pemangkin. Pastikan wanita ada akses setara kepada pendidikan, pembiayaan, peralatan dan teknologi digital serta pasaran. Kena hapuskan halangan-halangan struktural seperti undang-undang yang diskriminasi atau amalan pembiayaan yang lapuk.”

Beliau turut berkongsi bahawa di Malaysia, sudah ada usaha untuk memasukkan perniagaan wanita dalam rantaian bekalan nasional serta menggalakkan GLC dan GLIC untuk mengutamakan vendor wanita dalam perolehan mereka.

Bila Swasta Masuk Campur – Baru Ada Feel “Serius Nak Tolong”

Sektor swasta juga tidak boleh bersikap lepas tangan. Kalau betul nak sokong, mereka kena align strategi ESG dengan matlamat gender. “Bukan sekadar CSR semata-mata tapi strategi bisnes yang bijak,” jelas Puan Mastura semasa ditemubual.

Sebagai contoh, beliau menyebut tentang Madani Wanita-I oleh Bank Simpanan Nasional yang menyediakan pembiayaan mikro khas hasil daripada dana RM470 juta dalam Belanjawan 2025.

Bank atau syarikat besar perlu menambah produk kewangan, dan peluang perniagaan yang khusus untuk vendor wanita tempatan. Itu baru benar-benar membantu,” kata beliau.

Nak Tahu Jadi Ke Tak? Jangan Skip Data

Kami sempat bertanya bagaimana nak pastikan semua usaha ni benar-benar berkesan dan bukannya sekadar rancangan atas kertas. Puan Mastura menekankan pentingnya data yang jelas dan terperinci.

“Pengumpulan data mengikut jantina amat penting untuk mewujudkan scorecard atau dashboard yang mampu pantau indikator penting – contohnya berapa perniagaan wanita yang dapat pembiayaan atau peluang eksport.”

Beliau juga menyebut tentang ASEAN Women Entrepreneurs’ Network (AWEN) sebagai platform serantau untuk kongsi amalan terbaik, pantau impak dasar, dan jadi saluran maklum balas daripada usahawan wanita sendiri.

Katanya, “Paling penting, libatkan wanita dari awal. Bukan tunggu dia komplen baru nak dengar. Polisi yang berjaya ialah polisi yang wanita sendiri terlibat dalam proses pembangunan bukannya selepas ianya selesai dirangka.”

Forum ASEAN Berkaitan Wanita – Penting Ke Ni?

Baru-baru ini, ASEAN-Women Economic Summit (AWES, 24 – 25 Mei 2025) dan ASEAN-Women Economic Forum (AWEF, 19 – 21 Jun 2025) telah dianjurkan di Kuala Lumpur.

AWES dengan tema “Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan ASEAN: Merintis Integrasi Ekonomi untuk Daya Tahan Masa Depan”, telah menghimpunkan seramai lebih 700 pemimpin dan usahawan wanita bagi membincangkan pelbagai perkara dan dasar yang mampu diubah bagi memperkasakan wanita di dalam pelbagai bidang termasuk sektor awam, korporat, keusahawanan, perdagangan mahupun pelaburan.

Forum AWEF pula membawa tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy.” Ia menghimpunkan lebih 600 peserta dari 33 negara dengan lebih 100 penceramah dalam 24 sesi paralel dan 10 sesi plenari.

Puan Mastura yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua persidangan tersebut menjelaskan, “Forum-forum seperti ini penting supaya usaha kita bukan sekadar janji atas kertas. Ia jadi medan untuk bincang resolusi sebenar, kongsi pengalaman dan cipta pelan tindakan bersama untuk ASEAN.”

Forum AWEF, contohnya telah menghasilkan 27 resolusi komprehensif yang dibahagikan kepada empat dimensi utama iaitu Inner Power, Inclusion, Integration dan Innovation untuk dijadikan panduan dasar dan tindakan bersama.

MITI Sediakan Pelbagai Peluang untuk Wanita – Rebut Cepat!

Wanita sekarang bukan tunggu nak diselamatkan. Mereka mahu peluang yang sama rata, ruang yang adil dan sokongan yang sebenar. Kalau semua pihak main peranan, kerajaan dengan dasar yang telus, swasta dengan komitmen jujur maka dunia bisnes akan jadi lebih seimbang.

“Kita dah tak patut lagi bertanya “boleh ke wanita buat ni?” Jawapannya dah lama jelas: boleh sangat. Jadi kepada semua wanita, teruskan jadi berani, pasang cita-cita besar dan bersuara lantang. Dan kepada yang ada kuasa untuk buat perubahan lakukanlah.” akhirinya.


Scroll to Top