Wanita Jepun ditahan jual buku cara kikis duit ‘sugar daddy’

Wanita Jepun ditahan jual buku cara kikis duit ‘sugar daddy’

TOKYO: Seorang wanita dari Nagoya ditahan kerana menjual buku panduan cara untuk menipu golongan lelaki kaya atau ‘sugar daddy’ melalui temu janji berbayar.

Mai Watanabe, 25, yang mendakwa dirinya sebagai ‘dating scammer’ ditangkap pada Ogos lalu kerana menjual beberapa manual penipuan janji temu kepada pengikut media sosialnya.

Antaranya termasuk buku bertajuk ‘Buku Teks untuk Sugar Baby: Profil yang Tepat dan Kata-kata Ajaib untuk Membuat Lelaki Membayar’.

HALAMAN daripada buku panduan menipu lelaki melalui temu janji berbayar yang dijual Mai Watanabe.-AGENSI

Buku berkenaan menerangkan dengan terperinci cara untuk mendekati lelaki pertengahan umur dan mendapatkan wang sebanyak mungkin daripada mereka.

Buku-buku panduan kontroversi lain yang dijual Watanabe turut mengajar pembaca mencipta kisah dongeng mengalami zaman kanak-kanak yang tidak bahagia bagi meraih simpati dan mengikis lebih banyak wang daripada sugar daddy mereka.

Taktik lain termasuk berbohong kononnya tidak dapat bekerja kerana kesihatan yang tidak baik atau memerlukan bantuan segera membayar sewa.

Menurut Jabatan Polis Naka, Watanabe mula menjual manual penipuannya tahun lalu dengan harga antara 10,000 hingga 20,000 yen (RM315 hingga RM630), dengan kelas persendirian disediakan melalui bayaran tambahan.

Media Jepun melaporkan, wanita muda itu berjaya menjual sekitar 2,000 naskhah bukunya sebelum ditahan polis.

Polis mula menjalankan siasatan selepas menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai berjaya menipu sejumlah 10.65 juta yen (RM335,728) daripada dua lelaki di Aichi menggunakan taktik daripada buku Watanabe.