Wanita koma di Vietnam dihantar pulang ke Sabah Jumaat ini

Wanita koma di Vietnam dihantar pulang ke Sabah Jumaat ini

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ruhana Joseph iaitu rakyat Malaysia yang kini dalam keadaan koma dan masih menerima rawatan di Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam dijadualkan pulang ke tanah air bersama suaminya, Jamri Herry pada Jumaat ini.

Pasangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada jam 6.20 petang.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook (FB) hari ini.

“Bersama kita doakan semoga segala urusan penerbangan dan kepulangan mereka berdua bersama pasukan perubatan ke Sabah dipermudahkan,” tulisnya.

Sementara itu, Harian Metro cuba berhubung dengan Jamri, 40, namun kiriman mesej dihantar belum dibalas.

Bagaimanapun, Jamri menerusi satu hantaran di FB menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Azrul serta Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) atas segala bantuan dan keprihatinan.

“Dalam saat kami diuji, kalian hadir membawa harapan dan kekuatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Hanya Allah SWT yang mampu membalas setiap kebaikan dan keikhlasan ini.

“Tidak kami lupakan juga buat rakyat Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), saudara mara, sahabat handai juga semua rakyat Malaysia yang tidak pernah putus mendoakan serta menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurut Jamri, semua yang membantu dan mendoakannya juga isteri ibarat cahaya di saat mereka berada dalam kegelapan ketika berdepan ujian.

“Setiap doa, setiap usaha, amat besar maknanya buat kami sekeluarga. Kami memohon dengan penuh harapan, agar semua terus mendoakan isteri saya Ruhana (34) agar dikurniakan kesembuhan, diangkat segala kesakitan, dan dipermudahkan setiap urusannya.

“Semoga Allah SWT memberikan keajaiban, kekuatan, dan rahmatNya buat kami untuk terus bertahan dalam ujian ini,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Mohd Jamri yang diuji apabila isteri tercinta, diserang sawan hingga koma dan dimasukkan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam.

Ruhana diserang sawan sebelum solat Subuh kira-kira jam 4 pagi, 21 April lalu iaitu pada hari dia dan suami dijadualkan berangkat pulang ke tanah air selepas lima hari bercuti.

Sebelum insiden itu, Ruhana dilaporkan sihat malah tidak mengadu atau menunjukkan tanda mempunyai masalah kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top