am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Majlis Agama Islam Narathiwat mendedahkan beberapa kes membabitkan wanita Malaysia yang cuba menipu pegawai agama dengan mengemukakan sijil cerai atau sijil kematian palsu bagi membolehkan mereka berkahwin semula dengan pasangan baharu dari Malaysia di selatan Thailand.
Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, kes sedemikian telah dikesan sejak beberapa tahun lalu, dengan kebanyakan individu terbabit berasal dari Kelantan.
“Kami telah merekodkan banyak kes di mana wanita Malaysia menyerahkan dokumen palsu yang mendakwa mereka telah bercerai atau menjadi balu untuk memudahkan perkahwinan semula di selatan Thailand,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, ada antara wanita tersebut sanggup mengubah nama dan tarikh pada dokumen rasmi, termasuk memalsukan sijil cerai, bagi mengelak proses semakan yang ditetapkan sebelum perkahwinan.
Beliau menegaskan bahawa majlis tersebut memandang serius perkara ini dan akan menghentikan serta-merta proses akad nikah jika mengesan sebarang penipuan.
“Terdapat kes di mana pegawai saya, yang tidak menyedari penipuan tersebut, membenarkan perkahwinan diteruskan.
“Namun, pendaftaran perkahwinan itu kemudiannya dibatalkan selepas suami sebenar tampil memaklumkan bahawa dia masih hidup dan mereka sebenarnya belum bercerai,” tambahnya.
Beliau berkata, wanita Malaysia yang cuba menipu itu, dalam kebanyakan kes, sebenarnya memang telah bercerai.
Bagaimanapun, ada yang masih belum menerima sijil cerai rasmi atau telah kehilangan dokumen berkenaan.
“Wanita-wanita ini mungkin terlalu teruja untuk berkahwin dengan pasangan baharu dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempercepatkan proses perkahwinan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa adalah keperluan wajib bagi mana-mana lelaki Malaysia yang ingin berkahwin dengan wanita yang bercerai di mana-mana pejabat agama atau masjid yang diiktiraf di selatan Thailand untuk mengemukakan salinan sijil cerai atau sijil kematian suami terdahulu wanita berkenaan.
Abdul Aziz memberi amaran bahawa tindakan tidak jujur seperti itu boleh menjejaskan status sah dan masa depan anak-anak yang lahir daripada perkahwinan sedemikian khususnya dalam urusan dokumentasi pengenalan, kewarganegaraan dan pewarisan.
“Anak-anak ini boleh berdepan masalah semasa pendaftaran kelahiran, pendaftaran sekolah, atau dalam membuktikan status sah taraf mereka di kemudian hari,” katanya.
Sebagai tindak balas, majlis telah memperketat prosedur untuk perkahwinan rentas sempadan, terutama yang membabitkan warganegara asing.
Beliau turut menyatakan bahawa usaha terkini untuk membanteras perkahwinan haram dan meragukan menunjukkan hasil yang positif.
“Kes membabitkan sindiket dan perkahwinan bawah umur menurun secara ketara hasil kerjasama yang lebih baik serta peningkatan kesedaran dalam kalangan pasangan melalui program hebahan dan taklimat pendidikan yang kami jalankan,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini majlis sering berdepan kes melibatkan sindiket, gadis bawah umur dan wanita yang sedang mengandung.
© New Straits Times Press (M) Bhd



