am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Silam, di sini, hari ini.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 petang.
“Kemalangan membabitkan Toyota Fortuner dan Perodua Axia dipercayai bertembung.
“Lima mangsa berada dalam Toyota Fortuner, dengan seorang daripadanya tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, penumpang Toyota Fortuner berusia 50 tahun meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Maklumat mangsa pemandu bagi kenderaan Perodua Axia masih belum diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.20 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




