am@hmetro.com.my
Tapah: Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama lima sekeluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 349.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang tadi, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang terbabit, mangsa Roaini Tan Jalil, 59, mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, suami mangsa berumur 57 tahun dan anak lelaki dan perempuan berumur 21 dan 34 tahun turut cedera serta cucu perempuan berumur lima tahun pula parah dalam kemalangan terbabit.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berkenaan membabitkan kereta Proton Saga Aeroback dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan ke Ipoh, Perak dengan sebuah kereta Perodua Axia.
Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kedua-kedua kenderaan terbabit yang sedang menuju ke arah sama bergesel antara satu sama lain.
“Akibat kejadian terbabit, kedua-kedua kenderaan berkenaan hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.
“Dalam kejadian terbabit mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang beralamat di Ulu Kinta, Perak mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, suami mangsa berumur 57 tahun dan anak lelaki dan perempuan yang berumur 21 dan 34 tahun juga cedera manakala cucu perempuan berusia lima tahun pula cedera parah.
“Pemandu kereta Perodua Axia yang berumur 24 tahun juga cedera dalam kemalangan terbabit.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Wan Azharuddin berkata, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




