STOCKHOLM – Seorang wanita muda meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas ditembak di sebuah pusat sukan di Stockholm, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik agensi berita Sweden, TT pada Ahad.
Wanita berusia kira-kira 25 tahun itu ditembak di pusat sukan berkenaan pada petang Jumaat sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan parah, menurut TT.
Pada petang Sabtu, polis mengesahkan wanita itu meninggal dunia. Beberapa acara sedang berlangsung di pusat sukan berkenaan ketika serangan berlaku.
Kes itu kini disiasat sebagai kes bunuh. Dua remaja lelaki ditahan pada Sabtu.
Keadaan dan butiran kejadian masih belum jelas.
Wanita itu dilaporkan bekerja dalam bidang kebajikan belia.
Pendakwa raya Lukas Tigerstrand memberitahu penyiar awam SVT bahawa setakat ini tiada sebarang hubungan peribadi dikenal pasti antara kedua-dua remaja lelaki itu dengan mangsa.
Menurut TT, perlawanan bola lantai dan bola sepak sedang berlangsung di pusat sukan berkenaan ketika serangan berlaku. Bagaimanapun, kejadian tembakan itu tidak berlaku di dalam dewan tempat kedua-dua perlawanan diadakan.
Ramai kanak-kanak dan remaja berada di lokasi kejadian ketika itu. Perkhidmatan sokongan psikologi bagi menangani trauma telah disediakan untuk mereka, lapor agensi berita itu. – Bernama



