Wanita maut, lima cedera kemalangan di Pan Borneo

Wanita maut, lima cedera kemalangan di Pan Borneo

am@hmetro.com.my

Kuching: Wanita warga emas maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pan Borneo Sri Aman-Saratok dekat sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.44 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki enam mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita.

“Kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan yang mengakibatkan lima mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang mangsa wanita warga emas yang duduk di bahagian belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Anggota bomba bertindak membuka pintu belakang kereta yang tersekat menggunakan peralatan khas bagi memudahkan operasi menyelamat.

“Lima mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top