am@hmetro.com.my
Manjung: Wanita maut manakala suami serta dua anak cedera apabila motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan, di sini, hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 8.19 pagi dan sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba kemalangan didapati membabitkan dua motosikal, masing-masing sebuah treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan lima mangsa cedera.
“Kemalangan membabitkan kereta Honda yang sebelum itu terbabas di bahu jalan.
“Wanita serta suami dan dua anaknya yang menaiki motosikal SYM cuba membantu pemandu kereta berkenaan (yang terbabas) sebelum dilanggar sebuah treler.
“Kemalangan turut membabitkan Toyota Hilux dinaiki lima warga Pakistan serta sebuah lagi motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua individu menaiki Toyota Hilux selamat, manakala pemandu treler serta penunggang motosikal Honda EX5 masing-masing cedera.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan pada pihak perubatan, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




