am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita maut selepas tercampak keluar apabila kereta dipandunya merempuh bahagian belakang van sekolah di Kilometer 4 Jalan Skudai-Pantai Lido, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan berlaku jam 6.54 pagi membabitkan Perodua Bezza yang dipandu mangsa berusia 39 tahun dan van sekolah yang dipandu lelaki berusia 60 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza hilang kawalan selepas melanggar bahagian kanan belakang van sekolah berkenaan.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan keretanya berpusing sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, pemandu van sekolah tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada murid di dalam van semasa kejadian berlaku.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.
© New Straits Times Press (M) Bhd