am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita warga tempatan berketurunan Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini, terhadap pertuduhan terbabit pakatan jenayah melakukan rompakan berkumpulan terhadap suaminya sendiri membabitkan RM500,000 di Pasir Gudang pada 24 Februari lalu.
Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan, Muhammat Rashid Ismail, 30, menghadapi pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mereka didakwa bersama pada jam 12 tengah hari, 24 Februari lalu di tempat letak kereta di belakang Bank Islam, Pusat Perdagangan, Pasir Gudang didapati menjadi pihak dalam suatu pakat jenayah untuk melakukan suatu kesalahan rompakan berkumpulan.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Mereka juga didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 120b(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 395 kanun yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda jika disabit kesalahan.
Shameem Begum yang juga ahli perniagaan mengaku bersalah manakala peniaga makanan Muhammat Rashid mengaku tidak bersalah.
Terdahulu Muhammat Rashid menarik perhatian ramai apabila tiba di perkarangan mahkamah dengan berkerusi roda, berkain pelikat serta beg air kencing manakala Shameem Begum pula bertudung merah serta menggunakan pelitup muka.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afdhallan Syafiq Azmy manakala Muhammat Rashid diwakili oleh peguam Hafez Zalkapli.
Shameem Begum pula tidak diwakili peguam.
Terdahulu Hafez memohon anak guamnya ditawarkan jaminan atas faktor kesihatannya iaitu seorang OKU selain memahami prosedur perundangan.
Hafez menyatakan tertuduh juga peniaga yang berpendapatan bulanan kira-kira RM2,500.
Manakala Shameem Begum pula menyatakan suaminya pengurus syarikat serta berpendapatan bulanan kira-kira RM5,000 serta memohon jaminan.
Che Wan Zaidi menawarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh serta menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Manakala di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dua penganggur, Muhamad Syukri Mohamed Yusoff, 32 dan Abdul Rahman Abd Rahim, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee terhadap dakwaan bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan iaitu harta duit berjumlah RM500,000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum pemenjaraan selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan sebatan.
Mereka masing-masing dibenarkan diikat jamin RM8,000.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan, Emmirul Azim Samat, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk menyimpan harta curi dalam rompakan berkumpulan berjumlah RM50,000 di rumah di Bandar Seri Alam, Masai pada 24 Februari lalu.
Emmirul Azim didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan.
Emmirul Azim juga menghadapi pertuduhan membuat apa-apa persiapan bagi melakukan rompakan berkumpulan dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 399 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh 10 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin keseluruhan RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Hakim menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, seorang mekanik, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tanpa sebab sah memiliki senjata tiruan iaitu sepucuk pistol yang tertulis Pietro Beretta di Tampoi pada 27 Februari lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh sehingga setahun serta denda.
Majistret Azureen Sahira Binti Sauffee Afandi menetapkan jaminan RM5,000 selain menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.
Semalam akhbar ini melaporkan lapan warga tempatan termasuk seorang lelaki OKU yang lumpuh separuh badan serta seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan wang tunai RM500,000.
Ia berlaku apabila lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun mengeluarkan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada sebuah bank dengan ditemani isterinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



