am@hmetro.com.my
Nilai: Seorang wanita ditahan polis selepas dilaporkan menyerang seorang kanak-kanak lelaki dengan menendang dan memijak mangsa di sebuah kedai runcit kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek dikatakan mengesyaki mangsa yang berusia 11 tahun mencuri barang di kedai runcit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira jam 3.30 petang, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan.
“Wanita itu memaklumkan bahawa anaknya dipukul dan diugut seorang wanita yang dikenali ketika berada di sebuah kedai runcit.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11 malam sepasukan polis dari IPD Nilai berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an yang disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya turut merampas baju berhud kelabu dan alat mainan berbentuk senjata sebagai barang kes.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang membeli minuman di kedai itu secara tiba-tiba diserang suspek dengan menendang dan memijak mangsa di bahagian muka dan kaki.
“Suspek turut didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa. Kejadian itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis dan turut disaksikan seorang pelanggan yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
“Suspek didakwa berada dalam keadaan halusinasi ketika kejadian dan mengesyaki mangsa mencuri barangan dari premis, walaupun tiada bukti yang menunjukkan sedemikian,” katanya.
Jelasnya lagi, mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan didapati mengalami bengkak pada bahagian hidung serta lebam di beberapa bahagian kaki.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini bagi permohonan reman dan majistret membenarkan tahanan selama empat hari sehingga 19 Julai untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd