Pembuangan seluruh payudara atau mastektomi tidak bermakna wanita kehilangan peluang untuk mendapatkan semula bentuk payudara.
Sebaliknya prosedur rekonstruksi boleh menjadi pilihan selepas pembedahan kanser.
Ia boleh dilakukan menggunakan implan silikon atau tisu badan sendiri, sama ada serentak dengan pembedahan membuang kanser atau selepas rawatan selesai.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bagaimanapun, kesesuaian prosedur bergantung kepada keadaan pesakit, ciri-ciri penyakit dan keperluan rawatan.
Pakar Bedah Am dan Payudara Pusat Perubatan ParkCity, Dr. Zarif Yahya berkata, setiap wanita yang bakal menjalani mastektomi wajar diberikan penerangan terperinci mengenai pilihan rekonstruksi.
Ini penting supaya mereka dapat membuat keputusan yang tepat.
“Setiap wanita yang bakal menjalani mastektomi berhak ditawarkan rekonstruksi payudara, namun mereka juga berhak memilih untuk tidak menjalani prosedur itu.
“Rekonstruksi boleh dilakukan serentak dengan mastektomi atau beberapa tahun kemudian.
“Oleh itu, tidak pernah terlambat untuk meneroka pilihan yang tersedia,” katanya baru-baru ini.
Menurut Dr. Zarif, pembedahan onkoplastik menggabungkan pembuangan kanser dengan teknik membentuk semula payudara bagi mengekalkan bentuk dan simetrinya.
Kaedah itu melibatkan penyusunan semula tisu payudara sedia ada atau penggunaan tisu daripada bahagian tubuh lain untuk mengisi ruang selepas kanser dibuang.
Dalam sesetengah kes, hirisan pembedahan dibuat di kawasan yang kurang ketara, seperti di sekeliling puting atau di bawah payudara.
Pendekatan itu berbeza daripada pembedahan payudara konvensional yang memberi tumpuan kepada pembuangan kanser dan boleh mengakibatkan kecacatan ketara, ruang kosong yang besar atau parut yang jelas kelihatan.
Pembedahan onkoplastik juga membantu wanita mengekalkan imej tubuh dan identiti diri, selain menyokong keyakinan selepas rawatan kanser payudara.
“Sebagai pakar bedah payudara, matlamat kami adalah untuk memberikan penjagaan terbaik tanpa meninggalkan parut besar, kecacatan ketara atau ketidaksimetrian yang menjadi peringatan kepada mereka tentang pengalaman mengharungi kanser,” katanya.
Rekonstruksi selepas mastektomi boleh dilakukan menggunakan implan silikon atau tisu badan sendiri.
Implan silikon digunakan untuk membentuk semula payudara supaya sepadan dengan payudara sebelah lagi, manakala tisu badan sendiri boleh diambil dari bahagian belakang atau perut untuk membina semula bentuk payudara.
Penggunaan tisu dari bahagian perut juga boleh memberikan manfaat tambahan menerusi prosedur abdominoplasti atau tummy tuck.
Kedua-dua pilihan itu boleh dilakukan serentak dengan pembedahan membuang kanser atau ditangguhkan sehingga selepas rawatan selesai, lazimnya beberapa bulan kemudian.
Pemilihan kaedah bergantung kepada keadaan pesakit, ciri-ciri penyakit, kepakaran pakar bedah serta amalan dan kemudahan institusi perubatan.

Tidak semua wanita sesuai
Rekonstruksi payudara tidak sesuai untuk semua wanita yang menjalani mastektomi kerana pemilihannya bergantung pada keadaan dan keperluan setiap pesakit.
Menurutnya, faktor yang dipertimbangkan termasuk usia, masalah kesihatan, pekerjaan dan bentuk tubuh.
Jenis serta tahap kanser dan keperluan menjalani radioterapi juga mempengaruhi pemilihan prosedur.
“Sebagai contoh, seorang wanita berusia lewat 70-an dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan mungkin lebih sesuai menjalani mastektomi yang selamat dan ringkas berbanding pembedahan rekonstruksi payudara yang rumit dan berisiko,” jelasnya.
Selain faktor pesakit dan penyakit, pilihan pakar bedah, amalan institusi serta sumber dan kemudahan yang tersedia turut diambil kira.
Justeru, keputusan untuk menjalani rekonstruksi perlu dibuat selepas pesakit mendapat maklumat yang mencukupi dan berbincang secara menyeluruh dengan pakar bedah payudara.
Pulih keyakinan diri
Manfaat rekonstruksi payudara bukan sekadar melibatkan penampilan, malah turut berkaitan dengan imej tubuh, identiti diri dan kualiti hidup wanita selepas rawatan kanser.
Menurut Dr. Zarif, prosedur itu membantu sesetengah wanita berasa lebih lengkap dan menjalani kehidupan tanpa sentiasa teringatkan pengalaman menghidap kanser setiap kali melihat cermin atau menanggalkan pakaian.
Rekonstruksi juga mengurangkan keperluan menggunakan prostesis luaran, selain memberikan lebih kebebasan dalam pemilihan pakaian, pakaian renang dan aktiviti senaman.
Dalam masa sama, prosedur itu boleh membantu wanita kembali bekerja dan menjalani kehidupan sosial, selain menyokong keintiman serta kesejahteraan seksual.
Penglibatan pesakit dalam membuat keputusan mengenai rekonstruksi juga dapat mengembalikan rasa kawalan terhadap kehidupan mereka selepas berdepan dengan diagnosis kanser.
Oleh itu, pakar bedah perlu memahami keutamaan setiap pesakit, menetapkan jangkaan yang realistik dan menawarkan pilihan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Salah faham implan
Antara kebimbangan wanita mengenai rekonstruksi payudara ialah keselamatan dan jangka hayat implan, termasuk tanggapan ia perlu diganti selang beberapa tahun.
Implan bukan peranti yang kekal seumur hidup, namun banyak implan boleh bertahan selama 10 hingga 15 tahun atau lebih.
Pembedahan pembetulan atau penggantian biasanya diperlukan sekiranya timbul masalah seperti implan pecah atau kontraktur kapsul.
Wanita juga mungkin bimbang tentang penyakit yang dikaitkan dengan implan, termasuk kanser tertentu seperti limfoma.
Risiko berkenaan adalah rendah dan akan dibincangkan dengan pesakit ketika proses mendapatkan persetujuan sebelum pembedahan.
Selain itu, masih ramai wanita yang tidak mengetahui rekonstruksi menggunakan tisu badan sendiri turut tersedia sebagai pilihan.
Satu lagi kebimbangan ialah tanggapan kononnya prosedur ini boleh menjejaskan rawatan kanser, melambatkan kemoterapi atau radioterapi, serta menyukarkan pengesanan kanser yang berulang.
“Rekonstruksi biasanya boleh dilakukan dengan selamat bagi pesakit yang sesuai tanpa menjejaskan hasil rawatan kanser,” katanya.

Rawatan utamakan keselamatan
Dr. Zarif berkata, rawatan kanser yang selamat dan tepat pada masanya perlu diutamakan sebelum mempertimbangkan rekonstruksi.
Bagi pesakit yang menghidap kanser payudara jenis keradangan atau inflammatory breast cancer, rekonstruksi segera biasanya dielakkan.
Pesakit dengan kanser peringkat lanjut setempat juga perlu mengelakkan komplikasi yang boleh melambatkan kemoterapi atau radioterapi.
Selain itu, radioterapi selepas mastektomi boleh menjejaskan hasil rekonstruksi menggunakan implan silikon atau tisu badan sendiri.
Oleh itu, sesetengah pusat perubatan memilih untuk menangguhkan prosedur atau melaksanakannya secara berperingkat.
Faktor seperti merokok, obesiti dan diabetes yang tidak terkawal turut meningkatkan risiko komplikasi.
Keadaan tersebut perlu dikawal terlebih dahulu sebelum pesakit menjalani pembedahan.
Masalah kesihatan yang ketara juga mungkin menyebabkan pembedahan yang lebih lama tidak sesuai.
Sementara itu, sejarah pembedahan abdomen boleh mengehadkan penggunaan tisu dari bahagian tersebut untuk rekonstruksi.
Pemilihan kaedah perlu mengambil kira keadaan setiap pesakit dan melibatkan kerjasama pasukan pelbagai disiplin, termasuk pakar radiologi serta pakar bedah payudara dan plastik.
Keputusan akhir dibuat bersama pesakit selepas kaunseling dan perbincangan mengenai pilihan yang tersedia.
Jangan terburu-buru
Kata Dr. Zarif, setiap wanita yang bakal menjalani mastektomi berhak mengetahui dan mempertimbangkan pilihan rekonstruksi payudara.
Wanita tidak perlu terburu-buru membuat keputusan.
Sebaliknya boleh mendapatkan sokongan keluarga dan rakan-rakan serta berbincang dengan individu yang pernah melalui pengalaman serupa.
“Paling penting, buat perbincangan secara terbuka dengan pakar bedah dan pasukan penjagaan payudara anda.
“Proses ini mungkin memerlukan lebih daripada satu sesi konsultasi, namun kami sedia membimbing dan menyokong anda pada setiap langkah perjalanan ini,” katanya.




