Wanita rebah, meninggal dunia ketika tonton ‘sound horeg’

Wanita rebah, meninggal dunia ketika tonton ‘sound horeg’
Insiden berlaku ketika berlangsungnya majlis selamatan desa sempena ulang tahun ke-80 Republik Indonesia di kampung berkenaan. Foto Agensi

Insiden berlaku ketika berlangsungnya majlis selamatan desa sempena ulang tahun ke-80 Republik Indonesia di kampung berkenaan. Foto Agensi

LUMAJANG – Kegembiraan sambutan Hari Kebangsaan di sebuah kampung di Jawa Timur bertukar menjadi suasana pilu apabila seorang wanita rebah dan meninggal dunia ketika menonton persembahan sistem audio dikenali sebagai sound horeg pada Sabtu malam lalu.

Mangsa, Anik Mutmainah, 38, yang berasal dari Desa Selok Awar-awar, Kecamatan Pasirian, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika duduk menonton acara tersebut sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Menurut laporan detikJatim, insiden berlaku ketika berlangsungnya majlis selamatan desa sempena ulang tahun ke-80 Republik Indonesia di kampung berkenaan.

Suami mangsa, Mujiarto, memberitahu bahawa isterinya hadir ke acara itu bersama kakaknya, Sofia, 54, dan sempat merakam suasana karnival menggunakan telefon bimbit.

“Isteri saya memang minat dengan persembahan sound horeg dan sering menghadiri acara seperti ini. Malam itu dia kelihatan sihat, tapi tiba-tiba rasa pening dan terus pengsan,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Kakaknya yang panik melihat keadaan Anik segera meminta bantuan orang ramai untuk membawa wanita itu ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Pasirian, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sejurus tiba di hospital.

Kata Mujiarto, pemergian isterinya amat mengejutkan, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Siapa sangka, malam itu adalah malam terakhir dia menyaksikan sound horeg. Kami sekeluarga terima dengan hati terbuka. Saya reda, ini sudah takdirnya,” katanya sebak.

Jenazah Anik Mutmainah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Desa Selok Awar-awar.

Acara sound horeg merupakan fenomena hiburan popular di beberapa daerah di Indonesia yang menampilkan sistem bunyi kuat dan muzik elektronik dalam karnival dan majlis keramaian.-Agensi

Scroll to Top