KARNATAKA – Seorang wanita warga Rusia bersama dua anak perempuannya yang masih kecil ditemui tinggal di sebuah gua terpencil di puncak Bukit Ramatirtha, Gokarna, India.
Kejadian itu terbongkar pada 9 Julai sekitar jam 5 petang apabila Inspektor Sridhar S R dan pasukannya dari Balai Polis Gokarna sedang melakukan rondaan keselamatan di kawasan Bukit Ramatirtha yang sering dikunjungi pelancong.
Ketika rondaan tersebut, pihak polis menyedari pergerakan berhampiran sebuah gua yang terletak dalam zon berbahaya dan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
Hasil siasatan mendapati seorang wanita dikenali sebagai Nina Kutina, 40, tinggal di dalam gua tersebut bersama dua anak perempuannya, Prema dan Ama, masing-masing berusia empat dan enam tahun.
Nina menjelaskan bahawa dia memilih untuk tinggal di gua tersebut untuk tujuan bermeditasi dan mengasingkan diri daripada kehidupan bandar.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut memandangkan keadaan persekitaran yang tidak selamat.
Selepas diberikan nasihat dan penerangan mengenai risiko yang ada, polis berjaya menyelamatkan keluarga berkenaan dan mengiringi mereka turun dari kawasan bukit.
Atas permintaannya, Nina telah ditempatkan semula di sebuah ashram yang dikendalikan oleh seorang sami wanita, Swami Yogaratna Saraswati, 80, di Kampung Bankikodla, Kumta.
Hasil operasi bersama pihak polis dan Jabatan Perhutanan di lokasi gua itu menemui pasport serta dokumen visa milik Nina.
Siasatan lanjut mendapati Nina memasuki India dengan Visa Perniagaan yang sah sehingga 17 April 2017. Walau bagaimanapun, Pusat Pendaftaran Wilayah Orang Asing (FRRO) Panaji, Goa, telah mengeluarkan Permit Keluar pada 19 April 2018.
Rekod menunjukkan bahawa Nina keluar ke Nepal dan kembali masuk ke India pada 8 September 2018, sekali gus melangkaui tempoh visa yang dibenarkan.
Ekoran pelanggaran syarat visa tersebut, Nina dan dua anaknya telah dipindahkan ke Pusat Penerimaan Wanita di Karwar yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak dan kini berada dalam jagaan perlindungan.
Superintenden Polis Uttara Kannada telah memulakan proses surat-menyurat rasmi dengan Pejabat Pendaftaran Wilayah Orang Asing (FRRO) Bengaluru untuk memudahkan proses penghantaran pulang wanita itu bersama dua anaknya ke Rusia.