Wanita tak wajar ditempatkan di zon bergolak, boleh cetus implikasi lebih besar -Mufti Wilayah

Wanita tak wajar ditempatkan di zon bergolak, boleh cetus implikasi lebih besar -Mufti Wilayah

Wanita tidak wajar ditempatkan di kawasan konflik yang berisiko tinggi, malah pengunduran dari zon bahaya dilihat sebagai pematuhan kepada syariat, bukan tanda kelemahan.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa kehadiran wanita di zon merah bukan sahaja melibatkan risiko individu, malah boleh membawa implikasi lebih besar seperti tekanan diplomatik dan eksploitasi propaganda.

Keberanian tak boleh disertai dengan tindakan terburu-buru

Menurut beliau, keberanian dalam Islam perlu disertai hikmah dan bukan tindakan terburu-buru, malah berundur untuk menyusun strategi juga merupakan sebahagian daripada kebijaksanaan dalam perjuangan.

“Pendekatan syariat bukan menolak peranan wanita sebaliknya ia menyusun peranan agar lebih berkesan dan selamat.
“Hal ini menuntut satu manhaj tindakan yang jelas dan berdisiplin seperti pemisahan daripada zon pertembungan.
“Kejayaan misi kemanusiaan tidak diukur pada tahap risiko yang diambil, tetapi pada keberkesanan mencapai objektif dengan kerosakan minimum.
“Syariat memuliakan wanita sebagai agen perubahan, namun dalam masa yang sama melindungi mereka daripada risiko yang tidak seimbang,” ujar beliau.

Beri penjelasan tentang wanita sertai GSF

Penjelasan itu dibuat menerusi ruangan Tinta Mufti berhubung hukum wanita menyertai misi kemanusiaan flotila ke Palestin.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan turut menyatakan bahawa isu penglibatan wanita dalam misi berisiko perlu diperjelaskan oleh pihak berautoriti.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz menegaskan bahawa keharusan musafir bagi wanita tertakluk kepada jaminan keselamatan yang menyeluruh, namun realiti misi flotila yang berdepan risiko konfrontasi ketenteraan menjadikan ia berisiko tinggi.

“Sejarah seperti insiden Mavi Marmara membuktikan bahawa risiko keganasan adalah tinggi dan berulang,” ujarnya.

Tambah beliau, wanita tetap memainkan peranan penting dalam perjuangan melalui bidang seperti perubatan, logistik, advokasi media dan diplomasi, namun keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

“Mengheret orang awam ke dalam konfrontasi bersenjata tanpa keupayaan pertahanan ialah keputusan yang bercanggah dengan prinsip hikmah dan tadbir urus Islami,” ujarnya.
Menurutnya lagi, semangat untuk membantu perlu dipandu dengan ilmu agar tidak mendedahkan nyawa dan maruah kepada risiko.
“Di sinilah Maqasid Syariah berfungsi sebagai kerangka penentu. Syariat meletakkan pemeliharaan nyawa (Hifz al-Nafs) dan kehormatan (Hifz al-‘Ird) sebagai objektif teras yang tidak boleh dikompromi.

“Sebarang tindakan yang mendedahkan kedua-duanya kepada risiko tinggi perlu ditolak, walaupun atas nama maslahat umum,” ujarnya.

Sebelum ini, perdebatan mengenai kehadiran wakil wanita ke misi menuju zon bergolak hangat dibincangkan sehingga berlaku pencanggahan pendapat terutamanya di media sosial.

Hal ini susulan wakil wanita yang dimaksudkan pergi tanpa ditemani mahram dan turut meninggalkan suami serta anak-anak demi menyertai misi berbahaya terbabit.

Sumber: Tinta Mufti

Scroll to Top