am@hmetro.com.my
Seremban: Wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia 10 tahun yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal sejak September 2025 hingga awal Januari lalu.
Tertuduh, Dayang Norshida, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini antara September 2025 hingga Januari 2026.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan mengaku sebagai orang Bajau (Sabah).
“Pengawai Penyiasat akan membuat semakan berhubung statusnya (orang Bajau), tetapi berdasarkan sijil sijil kelahiran anak, tertuduh adalah warga Filipina,” katanya.
Menurut Norazihah, hubungan mangsa dan tertuduh adalah ibu kandung dan anak itu hasil daripada perkahwinan pertamanya, namun sudah bercerai.
Beliau berkata, mangsa sekarang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala seorang lagi anak tertuduh berusia empat tahun dijaga oleh kakak iparnya.
Dayang Norshida yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon diberikan jaminan dan memberitahu akan dijamin oleh bakal ibu mertuanya.
Mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sementara itu, teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada jam 7 pagi, 6 Januari lalu.
Masran, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan memohon tarikh sebutan baharu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), YY Ng yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dan memberitahu, dia bekerja sebagai pekerja bar dengan pendapatan RM1,700 sebulan .
Mahkamah kemudian membenarkan Masran dijamin sebanyak RM1,000 dan kes akan disebut semula 16 Februari depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Masran juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyimpan empat gambar lucah dan empat rakaman video lucah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 2 petang di lokasi sama pada 7 Januari lalu yang kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan Masran dijamin sebanyak RM1,000 bagi kes mendatangkan kecederaan dan RM3,500 memiliki bahan lucah.
Kedua-dua kes akan disebut semula 16 Februari depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




