Wanita terkejut jumpa kaki haiwan dalam hidangan restoran popular

Wanita terkejut jumpa kaki haiwan dalam hidangan restoran popular

LONDON: Seorang pelanggan wanita terkejut selepas mendakwa menemukan `kaki haiwan’ kecil dalam hidangan yang dipesannya di sebuah restoran di England.

Lapor Daily Star, wanita berusia 33 tahun itu dari Kidsgrove di Staffordshire menemukan kaki haiwan tersebut dalam hidangan ayam tikka masala yang dimasak di restoran berkenaan.

Ketika kejadian, wanita itu mengunjungi restoran yang sangat popular di bandar Stoke-on-Trent bersama anak-anak, ibu dan abangnya untuk menjamu selera.

“Selepas menjumpai objek itu, pelanggan tersebut terus membuat aduan kepada pekerja restoran berkenaan.

“Seorang tukang masak datang ke meja pelanggan dan mendakwa objek ditemukan dalam hidangan itu sebenarnya merupakan rempah ratus.

“Tukang masak itu cuba meredakan keadaan dengan mendakwa ia bukan kaki haiwan sebaliknya buah pelaga hitam yang berubah bentuk menjadi objek aneh selepas dikisar,” jelas laporan.  

Bagaimanapun, wanita itu tidak yakin dengan penjelasan diberikan oleh tukang masak berkenaan. 

“Saya berasa amat kecewa. Malah, terasa seperti tidak mahu mengunjungi restoran itu lagi sejak kejadian itu berlaku kerana ia sukar untuk terima, perut rasa mual.

“Saya suka restoran ini dan datang sini sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan. 

“Abang saya tinggal di Cardiff dan tak sabar untuk mengunjunginya kerana dia merindui masakan di restoran ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus restoran, Ray Shao menegaskan bahawa objek yang ditemukan pelanggan adalah buah pelaga.