am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Wanita tertua di Kelantan, Siti Liah Mamat, 124, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Cherang di sini, malam tadi.
Allahyarhamah yang mempunyai 14 anak dan lebih 40 cucu itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 malam di sisi keluarganya.
Cucunya, Azhar Mustafa, 50, berkata neneknya dikelilingi oleh anak dan cucunya pada saat-saat akhir hayatnya.
“Dia uzur sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi kekal ceria,” kata ahli perniagaan itu ketika ditemui di rumah keluarga pagi tadi.
Dikenali dengan sifatnya yang tenang dan lemah lembut, ahli keluarga menyifatkan Allahyarhamah sebagai ketua keluarga penyayang yang membesarkan keluarga besarnya dengan penuh kesabaran dan keimanan.
“Dia mengajar kami untuk sentiasa bersyukur dan menjaga antara satu sama lain.
“Kehilangannya umpama kehilangan jantung keluarga kami,” katanya.
Jenazah Siti Liah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambutan Rendang, kira-kira tengah hari tadi.
Terdahulu, kira-kira 70 ahli keluarga, saudara-mara dan pelajar dari pusat tahfiz berdekatan menunaikan solat jenazah.
Siti Liah menjadi tajuk utama berita pada 2021 apabila pada usia 120 tahun, beliau menjadi antara rakyat Malaysia tertua yang menerima vaksinasi COVID-19.
Allahyarhamah adalah antara 84 penerima yang mendapat suntikan dos kedua vaksin melalui program pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Khas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



