10 Jun 2026 11:21am
Masa membaca: 4 minit

Sarina turut memberikan taklimah ringkas kepada pada tetamu mengenai perjalanan operasi haji dan pengurusan jemaah syarikat itu.
MAKKAH – Keupayaan seorang wanita Malaysia mengetuai operasi haji yang kompleks di Tanah Suci mendapat pujian Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman ketika melawat pusat operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Tri-D Travel & Tours Sdn. Bhd. di Hotel Moyad Banonah, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn. Bhd, Sarina Sharif membuktikan bahawa wanita juga mampu memimpin operasi berskala besar yang memerlukan ketelitian dalam menguruskan pergerakan, kebajikan dan keselamatan jemaah sepanjang musim haji.

Sarina Sharif membuktikan bahawa wanita juga mampu memimpin operasi berskala besar yang memerlukan ketelitian dalam menguruskan pergerakan, kebajikan dan keselamatan jemaah sepanjang musim haji.
“Saya dimaklumkan Sarina merupakan satu-satunya Ketua Jemaah Haji wanita daripada 34 syarikat pelancongan yang diberikan lesen PJH oleh Tabung Haji pada musim haji tahun ini.
“Bukan mudah untuk mengendalikan operasi haji yang melibatkan pelbagai peraturan, pergerakan jemaah yang ramai serta pelbagai cabaran di lapangan. Ia memerlukan komitmen, disiplin dan kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ringkas bersama jemaah haji Tri-D Travel & Tours sempena lawatan beliau ke pusat operasi syarikat berkenaan.
Turut hadir Ketua Rombongan Haji Malaysia merangkap Pengarah Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun.
Sarina turut memberikan taklimah ringkas kepada pada tetamu mengenai perjalanan operasi haji dan pengurusan jemaah syarikat itu.
Syed Mohamad berkata, kejayaan operasi haji Malaysia sentiasa bergantung kepada kerjasama erat antara Tabung Haji, PJH dan para petugas yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Keupayaan Sarina mengendalikan jemaah haji mendapat pujian Duta Besar Malaysia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas haji Malaysia yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan sempurna.
Dalam pada itu, beliau berkata disiplin tinggi jemaah Malaysia terus mendapat pujian daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Ini semua menjadi antara faktor Tabung Haji kekal diiktiraf sebagai antara negara yang mempunyai sistem pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya.



