am@hmetro.com.my
Alor Setar: Wanita tempatan yang dipercayai melakukan kekacauan, bertindak agresif serta memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis di kawasan Mergong, semalam ditahan polis, hari ini.
Kejadian itu turut dirakam orang awam dan tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, polis menerima maklumat seorang wanita dipercayai kurang siuman menumbuk seorang individu di sebuah syarikat di Mergong, di sini, jam 1.11 tengah hari.
Beliau berkata, susulan itu dua anggota polis ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.
“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati suspek yang juga wanita tempatan berusia 34 tahun sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
“Anggota polis memperkenalkan diri dan cuba memujuk wanita itu supaya bertenang dan memberi kerjasama.
“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syed Basri berkata, suspek turut membaling Mykad miliknya ke arah badan anggota itu, selain meludah sebanyak dua kali serta meludah ke arah beberapa rakan sekerjanya yang turut berada di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian sama, suspek turut mengeluarkan kata-kata menghina Islam.
“Kejadian itu turut dirakam orang awam dan rakaman video berkenaan kemudian ditular di Tik Tok.
“Suspek ditahan jam 2.30 petang hari ini dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan, ” katanya.
Syed Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan jenayah untuk menakutkan menjalankan tugas, menggunakan kekerasan penjawat awam.
Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan perbuatan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut mana-mana agama.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan atau isyarat yang tidak senonoh, ” katanya.
Syed Basri berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak bertindak di luar batas sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




