Wanita UMNO tubuh jawatankuasa teliti Rumah Bangsa

Wanita UMNO tubuh jawatankuasa teliti Rumah Bangsa

KOTA BHARU: Pergerakan Wanita UMNO akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan Rumah Bangsa yang dilontarkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata jawatankuasa itu juga akan meneliti pelbagai perkara termasuk menerima semula bekas ahli Wanita yang meninggalkan perjuangan UMNO sebelum ini.

“Insya-Allah, kita (Wanita UMNO) akan mewujudkan satu jawatankuasa yang akan meneliti secara terperinci mengenai perkara tersebut.

“Langkah itu selaras dengan pendekatan yang dilaksanakan di peringkat UMNO Malaysia bagi memastikan setiap permohonan diteliti secara teratur,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini memberitahu pihaknya telah menerima permohonan awal daripada bekas ahli Wanita UMNO yang berminat untuk kembali menyertai parti.

Katanya, jumlah sebenar permohonan masih belum dapat dipastikan kerana proses tersebut masih berada pada peringkat awal.

“Permohonan memang ada, tetapi sama ada ramai atau tidak, perkara itu masih belum dapat dipastikan lagi.

“Semua permohonan yang diterima akan dirujuk kepada jawatankuasa pusat yang diterajui oleh Khaled Nordin untuk penelitian lanjut,” ujarnya.

Noraini berkata individu yang menunjukkan minat untuk kembali menyertai Wanita UMNO itu terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang pernah memegang jawatan penting dalam parti.

“Memang ada yang pernah memegang jawatan dan ada juga yang tidak,” katanya, menekankan bahawa proses pengembalian ahli akan dijalankan secara teliti dan teratur.

Terdahulu, media melaporkan bahawa inisiatif Rumah Bangsa oleh UMNO tidak bersifat paksaan; sebaliknya, bekas ahli yang berhasrat kembali menyertai semula parti perlu melakukannya dengan kerelaan hati.

Ahmad Zahid berkata Jawatankuasa Rumah Bangsa, yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.-UTUSAN

Scroll to Top