Wanita uzur terjun tingkap selamatkan diri

Wanita uzur terjun tingkap selamatkan diri

bhnews@bh.com.my

RANTAU PANJANG: Seorang wanita yang dalam pemulihan akibat serangan angin ahmar terpaksa terjun melalui tingkap dari ketinggian tiga meter menyelamatkan diri selepas rumahnya dilanda ribut di Kampung Limau Purut, di sini, semalam.

Umi Kalsom Ismail, 57, yang baru sebulan mampu bangun akibat penyakit itu terpaksa nekad terjun pada ketinggian kira-kira tiga meter apabila melihat ribut menerbangkan bumbung rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.

Beliau cedera di jari kaki dan sakit badan.

Katanya, beliau yang sedang berehat di ruang tamu pada awalnya dikejutkan dengan hujan lebat sebelum terdengar bunyi dentuman disusuli atap rumah yang tercabut dibawa angin kuat.

“Saya mulanya kaku, tidak tahu berbuat apa memandangkan hanya berseorangan di rumah kerana suami, Sabri Awang Kechik, 58, keluar bekerja. Namun, melihat keadaan makin teruk dengan kayu di bahagian atas rumah seperti mahu runtuh, saya kuatkan diri untuk berlindung di bahagian dapur.

“Melihat suasana yang semakin menakutkan, saya tidak berani untuk keluar melalui pintu utama kerana kedengaran seperti wayar elektrik terputus dihempap kayu dan tiada pilihan selain terjun melalui tingkap dapur.

“Apabila bahagian atap rumah sudah mula roboh, tanpa berfikir panjang saya terjun dari tingkap dan pada awalnya agak pening untuk bangun semula namun kuatkan diri meminta pertolongan jiran,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar, di rumahnya di Kampung Limau Purut, di sini, hari ini.

Umi Kalsom berkata, sebaik diberi pakaian untuk persalinan oleh jiran, dia baru sedar terdapat darah di bahagian jari kakinya yang hampir terputus mungkin cedera ketika dia cuba menyelamatkan diri.

“Sebaik diberitahu oleh penduduk kampung, suami saya pulang dan menangis melihat keadaan saya yang cedera selain keadaan rumah yang baru dua bulan disiapkan.

“Sudah hampir tujuh tahun kami menyewa rumah, baru sahaja mahu merasa tinggal di rumah sendiri, kami diuji dengan ribut yang melanda sehingga menyebabkan keseluruhan atap rumah musnah selain harta benda seperti televisyen, almari dan pakaian tidak dapat diselamatkan.

“Buat sementara waktu, kami berteduh dahulu di rumah salah seorang anak memandangkan kediaman ini masih tidak dapat didiami,” katanya yang mempunyai lima anak yang masing-masing sudah berumah tangga dan tinggal berasingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top