Wanita wajib pelihara maruah, contohi kisah gadis Madyan

Wanita wajib pelihara maruah, contohi kisah gadis Madyan

KONTROVERSI program bertemakan seni cinta rumah tangga yang tular baru-baru ini mengejutkan ramai apabila didakwa mengandungi unsur ritual aneh.

Antaranya ‘mandi kelahiran semula’, pengambilan air misteri dan aktiviti tidak bermoral termasuklah tarian tanpa pakaian sesama wanita, selain dikatakan melibatkan penyelewengan akidah.

Meskipun kes itu dalam siasatan pihak berkuasa, namun ramai yang bimbang impaknya kepada masyarakat.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi mengingatkan golongan wanita agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau program yang boleh menjatuhkan diri.

DR AHMAD SANUSI

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, Islam menegaskan kemuliaan seorang wanita yang terletak pada sejauh mana mereka memelihara kehormatan diri sebagaimana kisah anak-anak gadis di Maydan yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi surah al-Qasas dalam ayat ke-22 hingga 26.

“Ketika lari keluar daripada kezaliman Firaun, ALLAH menggambarkan bagaimana Nabi Musa AS bertemu dua orang gadis di Madyan.

“Al-Quran menerangkan beberapa ciri yang ditampilkan kedua anak gadis itu ketika mereka berusaha untuk mendapatkan air buat binatang ternakan mereka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Mengulas lanjut kisah itu, ahli akademik tersebut menjelaskan, kedua-dua gadis berkenaan begitu memelihara maruah mereka dengan tidak bersesak atau bergaul secara bebas bersama lelaki sehingga tindakan mereka itu diperhatikan oleh Nabi Musa AS.

“Demikian menurut Sheikh As-Sabuni. Perkara ini dipaparkan dalam al-Quran ketika babak anak gadis ini menunggu giliran mereka mengambil air,” katanya.

SIFAT wanita yang memiliki perwatakan baik dan berakhlak tinggi adalah apabila mereka menjaga kehormatan dan batasan pergaulan, tidak keluar rumah melainkan ada keperluan serta memiliki rasa malu yang tinggi. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

SIFAT wanita yang memiliki perwatakan baik dan berakhlak tinggi adalah apabila mereka menjaga kehormatan dan batasan pergaulan, tidak keluar rumah melainkan ada keperluan serta memiliki rasa malu yang tinggi. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Pada masa sama, Dr Ahmad Sanusi mengingatkan, wanita juga sewajarnya keluar rumah hanya atas urusan penting atau keperluan tertentu.

“Menurut As-Sa’di, ALLAH juga menggambarkan bagaimana anak gadis seharusnya hanya keluar rumah atas keperluan.

“Perkara ini digambarkan apabila anak gadis tersebut menerangkan kepada Nabi Musa AS bahawa mereka harus menguruskan urusan gembala kerana ayah mereka sudah terlalu tua.

“Apa yang paling jelas sekali, kedua-dua anak gadis itu digambarkan sebagai memiliki sifat malu yang tinggi. Perkara ini ditampilkan secara spesifik apabila ALLAH menerangkan perlakuan mereka ketika berjalan dengan lafaz ‘mereka datang berjalan dalam keadaan malu’,” jelasnya.

Sebelum menutup kalamnya, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, sifat wanita yang memiliki perwatakan baik dan berakhlak tinggi adalah apabila mereka menjaga kehormatan dan batasan pergaulan, tidak keluar rumah melainkan ada keperluan serta memiliki rasa malu yang tinggi.

WANITA jangan semudahnya terpengaruh dengan ajaran yang mengajak kepada melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri dan merosakkan pemikiran, tetapi jadikanlah al-Quran sebagai pembimbing diri. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

WANITA jangan semudahnya terpengaruh dengan ajaran yang mengajak kepada melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri dan merosakkan pemikiran, tetapi jadikanlah al-Quran sebagai pembimbing diri. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Mereka tidak semudahnya terpengaruh dengan ajaran yang mengajak kepada melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri dan merosakkan pemikiran, tetapi menjadikan al-Quran sebagai pembimbing diri,” coretnya.

Scroll to Top