Wanita warga emas maut dipijak lembu 500 kg

Wanita warga emas maut dipijak lembu 500 kg

Bangkok: Warga emas wanita berusia 75 tahun meninggal dunia dalam keadaan tragis selepas dipijak lembu peliharaannya di Ban Po Hu, Mueang Khwang, daerah Baan Dan, pada Jumaat.

The Thaiger.com melaporkan, mangsa, Khian Yimram, meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas dipijak lembu betina berusia enam tahun.

Haiwan yang dinamakan Chao Khao itu, secara tidak sengaja memijak dada wanita berkenaan menyebabkan kecederaan parah yang membawa maut.

Mangsa dihantar ke Hospital Baan Dan sebelum dipindahkan ke Hospital Pusat Buriram sebaik kejadian, namun wanita itu tidak dapat diselamatkan.

Menceritakan kejadian itu, seorang penduduk dikenali San berusia 68 tahun berkata, dia sedang mengiringi empat lembunya masuk ke kandang menggunakan motosikal roda tiga.

Ketika itu, dia melihat lembu milik Khian bergerak ke arah bertentangan tanpa pemiliknya.

Tidak lama kemudian dia menemui Khian tidak sedarkan diri di kawasan berumput di tepi jalan.

Dia terus menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

San berkata, lembunya dan lembu milik Khian mempunyai sejarah ‘bermusuhan’ setiap kali bertembung, dan sering menunjukkan tingkah laku agresif.

Sementara itu, penolong ketua kampung Thongma Krasethet berkata, Khian tinggal bersama suaminya, manakala anak-anak mereka bekerja di wilayah lain.

Wanita itu sudah menternak lembu kira-kira 10 tahun.

Thongma berkata, dia sering melihat Khian memimpin Chao Khao dengan tali pada jarak sangat dekat, menunjukkan hubungan mereka yang rapat.

Punca kejadian itu berkemungkinan besar akibat ‘pertelingkahan’ antara lembu terbabit ketika berselisih jalan.

Lembu betina itu, yang sudah berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mungkin keliru oleh bau atau kehadiran yang tidak dikenali, bertindak mempertahankan diri dan menjadi agresif.

Tingkah laku seperti ini perkara biasa apabila seekor ibu lembu merasakan ancaman, yang membawa kepada peningkatan situasi secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan kejadian itu.

Ini menyebabkan Chao Khao berundur, dan Khian, yang berdiri terlalu dekat, tidak sempat melarikan diri.

Dengan berat hampir 500 kilogram, kaki belakang lembu itu memijak dadanya, menyebabkan hati pecah yang membawa maut.

Kejadian ini menjadi peringatan kepada penternak supaya gar sentiasa menjaga jarak selamat ketika mengendalikan lembu bagi mengelakkan tragedi serupa, menurut laporan Khao Sod.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top