mhafis@mediprima.com.my
Petaling Jaya: Wanita warga emas berusia 67 tahun melecur 60 peratus manakala suaminya, 75, terselamat selepas kediaman mereka di Jalan SS1/8, di sini, terbakar hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.09 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 6.18 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dibantu BBP Jalan Penchala dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres semi D terbakar 60 peratus.
“Ketika kebakaran terdapat pasangan suami isteri di dalam rumah di mana wanita mengalami lecur 60 peratus diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhlis berkata, sementara lelaki warga emas itu pula tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada ahli keluarganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd