Wanna Ali Hormat Permintaan Suami, Enggan Lakon Babak Bersentuhan

Wanna Ali Hormat Permintaan Suami, Enggan Lakon Babak Bersentuhan

Pelakon cantik, Wanna Ali mengaku suaminya, Khairil Amri Khalid, tidak pernah menghalangnya untuk terus bergelar sebagai seorang pelakon.

Kata Wanna atau nama penuhnya, Nor Syazwana Mohd Ali, 27, ketika ditemui XTRA memaklumkan, meskipun dia kini sudah bertukar status namun, sebagai seorang isteri dia harus menghormati permintaan suaminya untuk tidak melakonkan babak bersentuhan secara berlebihan.

Tambahnya, suaminya bertindak berkenaan dek kerana bertanggungjawab menjaga keselamatannya.

“Saya rasa setiap suami yang sayangkan isteri dan menjaga keselamatan isterinya, akan buat seperti mana suami saya juga.

“Suami saya tak kisah saya bekerja, cuma jangan watak yang bersentuhan berlebihan. Saya pun isteri dia. Jadi, saya sangat memahami.

“Sebelum ini dia tahu saya memang sibuk, dan dia pun mahu tengok saya sibuk dengan hidup saya. Duduk rumah tak buat apa, blur juga kan,” katanya.

Wanna berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis sesi tayangan Kempen Ramadan Raya ‘Indahkan Memori’ yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai kerjayanya, Wanna mengaku sudah tiba masanya untuk dia memilih naskhah lakonannya.

Ini kerana, dia tidak mahu terpalit dengan ‘vibes’ negatif justeru dia lebih senang untuk melakonkan watak yang mengangkat kekuatan wanita.

“Sebab ini karier saya jadi saya akan ambil tawaran yang jalan ceritanya sesuai.

“Sebelum ni saya main ambil sahaja apa-apa tawaran.  Saya tak mahu bawa watak yang terlalu merendahkan wanita. Contohnya, watak penyondol, watak wanita simpanan, saya tak mahu buat tapi watak psiko saya okay,” jelasnya.

Untuk rekod, pada 9 Februari lalu, Wanna sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya yang juga anak kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar iaitu, Khairil Amri Khalid dengan hanya sekali lafaz.

Sekadar info, Wanna bakal muncul menerusi drama rantaian berjudul, ‘Bukan Sekadar Lafaz 2’ yang akan ditayangkan pada  27 Februari ini di slot Akasia TV3.

Scroll to Top