Wany Hasrita nafi edar kad kahwin – “Kalau nikah, saya akan beritahu..”

Wany Hasrita nafi edar kad kahwin – “Kalau nikah, saya akan beritahu..”

Penyanyi bersuara lunak, Wany Hasrita menafikan akan menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihan hatinya dalam masa terdekat, lapor Harian Metro.

Menerusi laporan tersebut, penyanyi berusia 30 tahun itu juga nafi sudah mengedarkan kad kahwin sebaliknya akan berkongsi tarikh bahagia jika sudah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

“Bukanlah dalam sebulan dua ini, selepas Aidilfitri pun tidak. Tiada istilah kad kahwin sudah diedarkan pun. Kalau nak cakap majlis perkahwinan saya sudah menghampiri pun bukan juga.
“Kalau saya kahwin saya akan beritahu kepada semua. Lagipun media juga antara yang menaikkan nama saya di dalam industri seni. Jadi, sudah tentu kita mahu berkongsi apa yang kita suka.
“Saya pun tak tahu kenapa orang asyik kata saya nak berkahwin, mungkin kapsyen saya di hantaran Instagram, berbaur ‘loving’. Ia disebabkan saya mencintai diri saya,” katanya.

Penyanyi lagu Terlalu Memuja itu berkata, setiap insan pasti memikirkan soal mendirikan rumah tangga namun sudah tentu menunggu waktu yang tepat.

“Semua orang yang belum berkahwin mahu ke arah itu. Tapi nak kata tahun ini, tak tahulah, kita tengok jodoh saya sampai bila.
“Doakan yang terbaik buat saya sebab setiap orang mahu kahwin dan begitu juga dengan saya,” luahnya lagi.

Terdahulu, foto dikongsi di laman Instagram miliknya memaparkan jari yang menunjukkan simbol bentuk ‘mini love’ mencetuskan spekulasi selain dipenuhi ucapan tahniah daripada para peminat.

Sumber: Harian Metro (Najiy Jefri) , Instagram Wany Hasrita

Scroll to Top