Di sebalik kesibukan mengurus rumah tangga dan memberi tumpuan kepada puteri kesayangan, Aishah Al Iman, penyanyi, Wany Hasrita masih aktif menjalani hobi kegemarannya.
Menurut Wany, berlari dan menyelam skuba (scuba diving) baru sahaja menjadi sebahagian daripada rutin hariannya teruatamanya selepas timbul kesedaran untuk menjaga kesihatan.
“Hobi saya kini ialah berlari dan scuba diving. Sebenarnya ini minat yang baru saya terokai.
“Sebelum ini, saya tak pernah terfikir untuk mencuba. Tapi sekarang saya mula rasa seronok dan puas setiap kali melakukannya.
“Saya mula aktif menyelam sejak tahun lalu, manakala berlari pula saya mula amalkan beberapa bulan lepas selepas menyedari stamina saya semakin menurun. Harapan saya agar saya dapat kekal konsisten dengan hobi ini,” katanya.
Wany atau nama penuhnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, menjelaskan bahawa kedua-dua aktiviti ini banyak membantunya dari segi kesihatan dan juga kawalan pernafasan terutamanya dalam karier nyanyiannya.
“Saya suka berlari kerana ia bantu tingkatkan stamina dan kawalan pernafasan saya. Ini adalah dua aspek yang sangat penting bagi seorang penyanyi.
“Selain manfaat kesihatan, aktiviti ini juga beri ruang untuk saya tenangkan fikiran dan seketika lari daripada realiti. Sama seperti menyelam, ia beri peluang untuk menikmati keindahan dunia bawah laut,” jelasnya.
Tambah Wany, kedua-dua hobi ini juga berperanan penting dalam menstabilkan kesihatan mental dan emosi setelah seharian berdepan dengan tekanan kerja.
“Dalam dunia pekerjaan, tekanan memang tidak dapat dielakkan. Jadi, berlari adalah antara cara untuk saya ‘reset’ fikiran dan lupakan seketika perkara yang membebankan.
“Manakala scuba diving pula, selalunya saya dan suami akan ambil peluang bercuti beberapa hari untuk lakukan aktiviti itu bersama.
“Ia juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan kami,” ujarnya.

Berkongsi pembahagian masa bagi kedua-dua aktiviti tersebut, pelantun lagu Belenggu Rinduini mengakui ia bergantung kepada jadual hariannya.
“Saya lebih gemar berlari pada waktu pagi, sebelum memulakan sebarang aktiviti harian.
“Selalunya jemputan nyanyian saya bermula tengah hari hingga malam, jadi aktiviti pagi tak mengganggu jadual kerja.
“Dengan cara ini, saya boleh kekalkan kecergasan dan beri fokus kepada latihan vokal tanpa gangguan masa.
“Untuk scuba diving pula, saya lakukannya lebih kurang dua kali setahun,” kongsinya.
Sumber: Utusan




