Warga asing kantoi bawa syabu selepas dikejar 15km

Warga asing kantoi bawa syabu selepas dikejar 15km

am@hmetro.com.my

Pontian: Cubaan dua warga asing meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila mereka diberkas selepas dikejar sejauh 15 kilometer, sekali gus membawa kepada rampasan dadah disyaki syabu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku jam 10 malam tadi apabila pemandu kereta terbabit enggan berhenti ketika diarahkan oleh anggota polis peronda (MPV) di Jalan Kampung Parit Haji Othman, Seri Bunian, di sini, untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, pemandu kereta itu tidak mengindahkan arahan, sebaliknya terus bertindak memecut laju ke arah Jalan Kampung Tenggayon sebelum dikejar sejauh lebih kurang 15 kilometer oleh polis.

“Polis berjaya menahan kenderaan itu di kawasan lampu isyarat Jalan Sungai Gurap.

“Hasil pemeriksaan, kereta terbabit dipandu lelaki warga asing bersama seorang perempuan yang juga warga asing,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohammad Shofee berkata, hasil pemeriksaan membolehkan polis menemukan dua peket plastik lut sinar dipercayai mengandungi syabu seberat 7.94 gram dan 0.65 gram dalam kereta suspek.

“Kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top