hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Gombak: Seorang lelaki warga asing dipercayai maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum bergesel dengan pembahagi jalan di Kilometer GSLRB 0.0, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa berusia 20-an berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian namun motosikalnya tidak ditemui di lokasi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, ketika kejadian lelaki warga asing terbabit dipercayai menunggang sebuah motosikal yang jenis dan nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.
Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan selekoh sebelum terbabas dan motosikal berkenaan bergesel dengan pembahagi jalan batu di kanan jalan.
“Mangsa kemudian terjatuh di atas permukaan jalan dan
akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada ambulans Hospital Selayang.
“Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan motosikal yang ditunggangnya juga masih belum dijumpai sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

