am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang warga Australia antara empat isteri dan tiga anak seorang Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.
Perintah reman sehingga Jumaat depan itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini
.
Peguam Rosli Kamaruddin berkata, individu itu terdiri daripada enam wanita termasuk warga asing dan seorang lelaki berusia 18 hingga 55 tahun.
“Kesemua mereka termasuk empat isteri ahli lembaga pengarah itu ditahan polis di sekitar Rawang malam tadi.
“Mereka dibenarkan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Oktober depan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Terdahulu, kesemua individu itu tiba dengan menaiki van polis dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira jam 9.30 pagi.
Mereka dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Sementara itu, di mahkamah sama, 10 individu yang mempunyai kaitan dengan GISBH dilanjutkan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.
Perintah reman antara empat hingga tujuh hari itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid terhadap lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 53 tahun.
Peguam Shalehuddin Salam berkata kesemua 10 individu berkenaan direman selama seminggu sebelum ini dan tempohnya tamat hari ini.
“Tempoh reman mereka disambung lagi antaranya sehingga 5 Oktober depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, siasatan antaranya dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Terdahulu, kesemua individu yang berpakaian lokap jingga itu tiba dengan menaiki trak polis dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira pukul 9.35 pagi.
Mereka dibawa untuk tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan terbaharu daripada individu yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor memaklumkan mereka yang berusia 14 tahun hingga 20-an itu membabitkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor, Sarawak dan Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




