Warga China bawa ketamin bernilai RM344,000 ditahan di KLIA

Warga China bawa ketamin bernilai RM344,000 ditahan di KLIA

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Seorang warga China ditahan di Balai Ketibaan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, selepas dikesan membawa dadah jenis ketamin bernilai lebih RM344,000.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, lelaki itu ditahan hasil kerjasama anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 28 Oktober lalu.

“Suspek disekat selepas imbasan pada bagasi yang dibawanya mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis ketamin yang dibalut aluminium, ditutup papan dan disorok di bahagian pelapik kain dalam dua bagasi miliknya.

“Anggaran berat kasar dadah berkenaan adalah 6,884 gram (g) dengan nilai melebihi RM344,000,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, suspek bersama barang kes kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut.

Zulkifli berkata, modus operandi suspek adalah menyembunyikan dadah dalam ruang rahsia di dalam bagasi bagi mengaburi pengimbas keselamatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Katanya, suspek sudah dituduh di mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top