
Polis menahan seorang lelaki warga China yang menjual gas ketawa kepada remaja. Photo via MGR Online
PATTAYA – Polis menahan seorang lelaki warga China yang disyaki menjual gas ketawa kepada remaja melalui iklan dalam talian di Pattaya, Khamis lalu, lapor The Thaiger.
Pegawai dari Bahagian 3 Biro Imigresen Thailand berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penjualan nitrus oksida atau gas ketawa itu dengan menyasarkan golongan remaja sebagai pelanggan.
Menurut polis, iklan tersebut dikongsi secara meluas di internet dan dilihat seolah-olah tidak mengendahkan undang-undang Thailand.
Susulan maklumat itu, pihak berkuasa menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti lokasi suspek yang dipercayai merupakan sebuah rumah dua tingkat di kawasan tengah Pattaya.
Bagi mengesahkan kegiatan suspek, anggota polis kemudian menyamar sebagai pelanggan dan membuat tempahan satu tong gas ketawa dengan harga 2,400 baht (RM291) menggunakan nombor telefon yang dipaparkan dalam iklan tersebut.
Tidak lama selepas itu, suspek dilaporkan keluar dari rumah berkenaan sambil membawa pesanan tersebut sebelum menyerahkannya kepada anggota yang menyamar sebagai pelanggan.
Suspek kemudian ditahan di lokasi kejadian dan pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol jenis.38 bersama 11 butir peluru.38, 58 butir peluru 9 milimeter, tiga kelongsong peluru patah, satu magazin Glock, 30 botol cecair vape yang mengandungi ketamin serta 17 tong gas ketawa.
Suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Mueang Pattaya bagi tindakan lanjut.
Gas ketawa merupakan dadah rekreasi dan pengambilannya dikaitkan dengan risiko kesihatan yang tinggi terutama bagi golongan bawah umur, merangkumi gejala pengsan sehinggalah kepada kerosakan kekal pada sistem saraf.
Ringkasan AI
- Polis Thailand menahan seorang warga China di Pattaya kerana menjual gas ketawa kepada remaja melalui iklan dalam talian
- Penjualan gas ketawa tersebut disasarkan kepada remaja dan iklannya tersebar luas di internet
- Siasatan polis berjaya mengenal pasti lokasi suspek dan melakukan penyamaran untuk membeli gas ketawa
- Suspek ditahan dengan barang bukti termasuk senjata api dan peluru, serta gas ketawa itu sendiri
- Gas ketawa dikenali sebagai dadah rekreasi dan penggunaannya berisiko tinggi terhadap kesihatan



