Warga China ditahan rakam video dalam tandas pusat beli-belah

Warga China ditahan rakam video dalam tandas pusat beli-belah

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki warga China kerana berkelakuan tidak senonoh apabila bertindak merakam seorang lelaki tempatan di tandas pusat beli-belah di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata suspek yang berumur lingkungan 20-an ditahan pada 1.28 tengah hari selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata insiden pada 11 pagi itu berlaku ketika mangsa berada di tandas lelaki tingkat empat premis berkenaan sebelum menyedari suspek cuba melakukan rakaman menggunakan telefon bimbit dari petak bersebelahan.

“Hasil tangkapan, polis merampas telefon bimbit suspek dan pemeriksaan awal menemukan beberapa video lucah dalam galerinya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam insiden itu, selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek direman 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula 27 Mac hingga 9 April bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top