Warga China ditahan 'skodeng' rakam video dalam tandas pusat beli-belah

Warga China ditahan 'skodeng' rakam video dalam tandas pusat beli-belah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki merakam video tidak senonoh di dalam tandas awam sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jalil, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1.28 petang susulan laporan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi apabila mangsa menyedari dirinya dirakam individu dari tandas bersebelahan menggunakan telefon bimbit.

“Suspek ialah lelaki warganegara China berusia pertengahan 20-an.

“Semasa tangkapan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

“Pemeriksaan awal ke atas peranti tersebut menemui sejumlah video lucah di galeri simpanan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, suspek sudah mengaku terlibat di dalam kejadian yang dilaporkan.

“Suspek kini ditahan reman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari bermula semalam sehingga 9 April ini. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top